Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang



Puteri Gunung Ledang termuncul dalam dua buku lama, yaitu “Hikayat Hang Tuah” dan “Sulalatus Salatin”. Sulalatus Salatin lebih dikenali sebagai “Sejarah Melayu”. Buku Sejarah Melayu lebih daripada Hikayat Hang Tuah.

Dalam Sejarah Melayu, Puteri Gunung Ledang dikatakan amat cantik hingga diinginkan oleh Sultan Mahmud dari Kesultanan Melaka. Pendekar yang diutuskan meminang ialah Laksamana Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa orang lain. Semasa kecil, Hang Tuah berguru silat di atas Gunung Ledang dan biasa dengan jalan ke puncak Gunung Ledang. Akan tetapi kala ini, umurnya telah terlalu tua untuk ke puncak Gunung Ledang.

Dengan itu, Tun Mamat ditugaskan ke puncak dan menemui seorang nenek tua yang sebenarnya, samaran kepada Puteri Gunung Ledang. Puteri Gunung Ledang dikatakan menolak pinangan Sultan Mahmud dengan mengenakan tujuh syarat yang tak mampu ditunaikan, ialah:

* 1 jembatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.

* 1 jembatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.

* 7 dulang hati nyamuk.

* 7 dulang hati kuman.

* 7 tempayan air mata anak dara.

* 7 tempayan air pinang muda.

* 1 mangkuk darah Sultan Ahmad, yaitu anak Sultan Mahmud Shah, dan yang masih kanak-kanak lagi.

Semua syarat itu sanggup ditunaikan oleh Sultan Melaka kecuali darah puteranya.

Dalam Hikayat Hang Tuah, sultan yang menikah dengan Puteri Gunung Ledang bukannya Sultan Mahmud, tetapi Sultan Mansor Shah. Sahabat yang mendurhakai ialah Hang Jebat. Akan tetapi dalam Sejarah Melayu, cerita Shellabear ialah Hang Kasturi.

Sedikit Kutipan naskahnya :

“Kanda lupa cinta dinda seagung maya” – Hang Tuah

“Cinta kanda? Bukan semesta luasnya?” – Gusti Putri

“Masih kecil berbanding cinta dinda!” – Hang Tuah

“Tapi kanda ke mari juga” – Gusti Putri

“Laksana orang haus dahaga, berjumpa air satu telaga” – Hang Tuah

“Setapak melangkah, dua langkah ingatan kanda pada dinda” – Hang Tuah

“Adinda bersumpah jikalau kekanda tidak kembali, adinda akan menyusul kekanda, meminjak pada tanah yang sama, bernafas pada udara yang sama ” – Puteri Gunung Ledang

“Apakan daya, tangan terikat dilangit, kaki terpasak dibumi, jasad tidak setanding mimpi” ~ Hang Tuah

“Layar berbelok-belok, sauh dibungkar di tempat tenang..Yang tinggal hati tak elok, yang pergi hati tak senang. Bila sampai waktu, kita akan bersama” – Hang Tuah

“Tanah mana yang aku pijak? Berdirinya aku kasih berguguran…Pasir mana yang aku genggam? Erat tanganku semakin layu..Bunga berkembang..bumi luas aku seorang…

“Kalau nak menurut biar berakal,kalau mengikut biar pintar”
(Petikan dialog M.Nasir dalam filem Puteri Gunung Ledang)

“Kesemuanya hamba susun supaya rambut yang ditarik, tepung tidak berselerak. Semua hati di Melaka ini hamba jaga” ~ Dato’ Bendahara

“Bumi di Melaka ini bumi berdaulat. Sehiris luka yang beta terima, seMelaka sakitnya dirasa” ~ Sultan Melaka

Posted in Uncategorized | 3 Komen

Cabaran ke puncak Ledang



Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my

USIA Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini menginjak 125 tahun. Namun, apa yang istimewa pengendali kereta api utama di Semenanjung Malaysia itu kini diteraju orang-orang muda yang bersemangat waja.

Merekalah generasi harapan yang meneruskan kegemilangan KTMB biarpun ia dimamah usia. Sejarahnya yang bermula sejak sistem gerabak asalnya yang dibina untuk mengangkut timah sewaktu zaman penjajahan British telah mengalami transformasi menjadikannya sebagai pengangkutan pelbagai guna.

Tempoh 125 tahun membawa makna yang cukup besar kepada kakitangannya. Kepentingan mereka bukan lagi tertumpu kepada pembangunan organisasi semata-mata, tetapi pembangunan modal insan yang bersemangat waja dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Justeru, simbolik ulang tahun ke-125 yang dijayakan pada Mei lalu agak berbeza berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. KTMB mencabar kakitangannya mendaki puncak Gunung Ledang menerusi satu ekspedisi mengibarkan bendera KTMB pada ketinggian 1,276 meter dari paras laut.

Di puncak Gunung Ledang, mereka bukan hanya mengibarkan bendera tetapi pengisian ekspedisi secara keseluruhan.

ZAINAL peserta paling tua dalam ekspedisi ke Gunung Ledang yang berjaya sampai ke puncak gunung itu.

“Peserta ekspedisi seramai 60 orang terdiri daripada kakitangan KTMB di seluruh Semenanjung. Mereka menyertai ekspedisi ini secara sukarela biarpun 70 peratus daripadanya tidak berpengalaman mendaki gunung.

“KTMB mahu menerapkan gaya hidup sihat di dalam organisasi bukan sahaja pada sambutan ulang tahun kali ini tetapi menjadikannya budaya kakitangan untuk masa- masa akan datang,” kata Pengurus Komunikasi Korporat KTMB, Mohd. Fazil Ismail mengenai ekspedisi yang bermula seawal pukul 8 pagi itu.

Pada permulaan ekspedisi berkenaan, para peserta bertolak dari Stesen Sentral Kuala Lumpur menaiki kereta api menuju ke stesen Segamat. Perjalanan diteruskan dengan menaiki bas menuju ke Kem Legenda Gunung Ledang. Perjalanan dengan kereta api dan bas yang bermula dari pukul 10 malam tiba pada pukul 4 pagi keesokan hari.

Kesemua peserta berkumpul dan diberi taklimat mengenai laluan pendakian oleh jurupandu pendakian sebelum melakukan senaman regangan. Cabaran pertama adalah mendaki kira-kira 700 anak tangga menuju ke check point pertama (CP1) iaitu Bukit Semput.

Pendakian diteruskan ke CP2 iaitu Legenda Trail dan CP3 iaitu Batu Orkid. Walaupun ada peserta yang tidak dapat meneruskan pendakian ke CP4 iaitu Sungai Tiga Segi, kira-kira 95 peratus peserta berjaya meneruskan pendakian sehingga ke CP seterusnya.

KIBARAN bendera KTMB sebagai simbolik kejayaan menamatkan pendakian ke Gunung Ledang.

Peserta berhenti beberapa kali untuk berehat dan membasahkan tekak. Mereka juga mengambil kesempatan menyegarkan badan dengan meruapkan air sungai yang sejuk ke muka dan tangan. Setelah itu, peserta yang tinggal meneruskan pendakian ke CP6 iaitu batu hampar yang mempunyai banyak halangan.

Halangan tidak kurang hebatnya di CP7 iaitu Bukit Botak yang memerlukan para peserta mendaki banyak tangga yang dipasang bagi memudahkan pendakian dinding-dinding batu. Ia adalah check point terakhir sebelum kesemua peserta sampai ke puncak Gunung Ledang pada pukul 4 petang.

Menurut Fazil, ekspedisi kali ini mempunyai pengisian yang baik kerana ia bukan sahaja dapat menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi pada masa sama mengeratkan silaturahim antara kakitangan.

“Dalam ekspedisi ini, tiada jurang pangkat antara kakitangan kerana semuanya bekerjasama dan saling membantu menghadapi kesukaran dan kegembiraan,” katanya.

Pengalaman berharga

HAMPIR tiba ke puncak… Peserta melepasi ketinggian 1,200 meter Gunung Ledang.

Ekspedisi mendaki Gunung Ledang anjuran KTMB membuktikan semangat juang peserta yang tinggi kerana bukan sahaja membabitkan peserta muda, malah golongan warga emas turut tidak ketinggalan mengambil bahagian.

Kamsiah Hussin, 54, berkata, tujuannya menyertai ekspedisi berkenaan adalah bagi melawan perasaan takut dengan melakukan aktiviti ekstrem walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman mendaki.

“Ini merupakan pertama saya menyertai aktiviti sebegini kerana sebelum ini saya amat takut untuk menyertai sebarang aktiviti luar. Keluarga juga memberi galakan supaya saya menyertai pendakian ini.

“Pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan ialah apabila terpaksa mendaki dinding batu setinggi sepuluh meter. Pada masa itu saya berasa amat takut tetapi saya kuatkan semangat dan tidak mahu ketinggalan di belakang apatah lagi melihat kaki gunung yang sayup-sayup di bawah,” katanya.

Tambah Kamsiah, dia seolah-olah tidak percaya di atas kemampuannya mendaki hingga ke puncak gunung tambahan pula dengan usianya yang boleh dikategorikan sebagai warga emas.

“Namun, dengan keazaman yang tinggi dan nekad untuk menghabiskan pendakian akhirnya saya berjaya juga,” katanya.

Norashikin Tajudin Noor, 33, pula berkata, sebelum pendakian bermula dia banyak memikirkan tentang serangga dan haiwan yang menggelikan seperti pacat namun dia tidak menyangka aktiviti yang begitu mencabar.

“Selepas berada di puncak Ledang perasaan pada ketika itu tidak dapat digambarkan. Terbit satu perasaan yang bebas, puas dan pelbagai lagi,” katanya yang tidak serik untuk menyertai aktiviti seumpamanya pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Izahirah Ibrahim, 27, berkata, dia amat meminati aktiviti lasak dan pernah menyertai pelbagai aktiviti luar sebelum ini.

“Sebelum ini saya biasa menyertai latihan ketenteraan namun cabaran mendaki gunung amat berbeza dengan latihan ketenteraan. Mendaki gunung memerlukan kesabaran dan keazaman yang tinggi.

PESERTA ekspedisi melepaskan lelah di sebatang anak sungai.

“Saya juga merupakan salah seorang anggota sukarelawan Rejimen Askar Wataniah selama tiga tahun,” tambahnya.

Mohd. Fauzi Mohd. Yusop, 27, yang merupakan polis bantuan KTMB juga pernah mendaki Gunung Ledang tetapi cabaran yang harus ditempuhnya kali ini ialah dia bertanggungjawab ke atas keselamatan kakitangan KTMB.

“Saya bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku walaupun ramai peserta yang keletihan dan ada yang tidak mampu untuk meneruskan pendakian dan terpaksa berpatah balik,” katanya.

Peserta paling tua yang juga seorang penulis sambilan, Zainal Abidin Ahmad, 55, berkata, dia banyak mencari maklumat di Internet mengenai Gunung Ledang sebelum menyertai ekspedisi. Dia tidak terkejut dengan perjalanan ekspedisi berkenaan.

“Penat jerih, laluan berliku ketika pendakian sepanjang ekspedisi kembara ini amat menepati visi KTMB sempena 125 tahun perkhidmatannya,” jelas Zainal Abidin yang tidak dapat melupakan cabaran di Gua Kambing kerana laluan tersebut yang amat curam.

Sementara itu, Loh Li Hoon, 26, yang cedera di kaki ketika pendakian turut merasakan perasaan yang sama apabila sampai di puncak. Biarpun penat dan mencabar, dia berasa seronok dengan pengalaman pertamanya mendaki gunung.

Ekspedisi berakhir apabila peserta berjaya turun ke kaki Gunung Ledang menggunakan laluan trek kira-kira pukul 10 malam.

Posted in Uncategorized | 3 Komen

Misteri Gunung Ledang

Cerita Santai – Misteri Gunung Ledang

August 23, 2008 by alivewire

Pada tahun 1986, saya dan bersama-sama sahabat yang sama-sama belajar di Matrikulasi Universiti Sains Malaysia, merancang untuk mendaki Gunung Ledang yang terletak di Melaka pada cuti semester.

Saya berasal dari Tampin, Negeri Sembilan. Sedangkan sahabat-sahabat saya yang lain berasal dari Negeri-negeri lain seperti Pulau-Pinang, Pahang, Terengganu, Johor dan Melaka . Kami sepakat untuk berkumpul pada hari yang sama di kaki gunung sebelum memulakan pendakian.

Satu minggu sebelum bertolak ke sana, saya berkesempatan untuk melawat nenek(ibu kepada bapa) saya (kami memanggilnya atuk tudung) dan bercerita tentang cadangan saya dan kawan-kawan untuk mendaki Gunung Ledang pada minggu berikutnya.

“Atuk tudung” saya (allahyarhamah) berketurunan suku Semelenggang, satu keturunan dari Dol Said, pahlawan Naning yang terkenal di negeri Melaka. Saya memang agak rapat dan manja dengan atuk sejak kecil. Atuk rajin bercerita tentang asal-usul keturunan sebelah keluarganya yang kebanyakannya adalah menjadi Raja/ Sultan dan Penghulu. Katanya, Undang Luak Johol yang pertama adalah moyang (perempuan) saya. Banyak rahsia dan ilmu peperangan saya perolehi dari atuk saya. Apa yang saya hendak ceritakan di sini bukanlah pasal keturunan saya atau ilmu peperangan tetapi misteri apa yang ada di Gunung Ledang yang di ceritakan oleh atuk saya.

Ceritanya begini. Selepas zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, keluarga atuk saya juga tidak terkecuali mengalami kesusahan baik dari segi kewangan mahupun makanan. Pada waktu itu, adik (perempuan) kepada atuk saya telah bermimpi supaya mengunjungi Gunung Ledang untuk mengambil sedikit harta untuk di buat belanja. Adik perempuan atuk (allahyarhamah Tok Cik) saya merupakan seorang dukun atau bomoh pada waktu itu. Beliau telah pergi ke Gunung Ledang bersama-sama sahabatnya mengikut arah jalan sepertimana di tunjukkan di dalam mimpinya.

Menurut kata atuk, puteri bunian di Gunung Ledang merupakan sahabat lama kepada allahyarhamah moyang saya, iaitu Undang Luak Johol yang pertama. Mungkin kerana itu, beliau berhajat untuk membantu keluarga atuk yang dalam kesusahan. Ketika di Gunung Ledang, Tok Cik telah di suruh untuk mengumpul dedaun kayu yang kering dan di bungkus di dalam kain sarung yang di bawa olehnya. Beliau kemudian di suruh membawa pulang bungkusan tersebut dengan syarat tidak boleh membukanya sehingga sampai di rumah. Sampai di rumah, apabila dibuka kain bungkusan tersebut, Tok Cik mendapati dedaun kering tersebut telah bertukar menjadi emas. Pelik bukan? tetapi menurut atuk, emas tersebut akan bertukar semula menjadi dedaun kering selepas masa lebih kurang tiga bulan selepas itu.

Saya tidak tahu samada untuk percaya atau tidak dengan cerita (allahyarhamah) atuk. Tok Cik pun telah lama meninggal dunia, ketika saya masih belum lahir ke dunia ini lagi. Jadi, tiada siapa yang dapat mengesahkan cerita tersebut. Tetapi apa yang lebih menarik, adalah cerita atuk berkenaan ilmu allahyarhamah moyangnya yang boleh mengubah kayu-kayan menjadi emas pada zaman dahulu. Katanya, ilmu itu di perolehi ketika berada di Gunung Ledang. Malangnya, ilmu itu tidak di turunkan pada waris-warisnya. Rasanya lebih baik begitu, sedangkan masalah sakit “saka” yang menghantui keluarga saya pun masih menjadi masalah, apatah lagi kalau masih ada ilmu-ilmu tersebut pada waktu ini.

Di pendekkan cerita, Alhamdulillah, saya selamat mendaki dan selamat pulang dari Gunung Ledang tanpa mengalami apa-apa cerita misteri di sana pada minggu berikutnya.

Bimbang juga saya, kot-kot di culik oleh puteri Gunung Ledang pada waktu itu…….ahahaha…!

Posted in Uncategorized | 4 Komen

Kunyit Hitam di Gunung Ledang

Posted in Uncategorized | 1 Komen

Herba Tuju Angin di Gunung Ledang

Posted in Uncategorized | 1 Komen

Herba Bonglai Gunung di Gunung Ledang

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Herba Kacip Fatimah di Gunung Ledang

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Orkid selipar di Gunung Ledang

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Pokok Cenuai Merah Gunung di Gunung Ledang

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Pokok Cenuai Merah di Gunung Ledang

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen